Perhimpunan Agung UMNO, pemilihan MT ditangguh ke Mac 2009
26/09/2008 12:33pm
KUALA LUMPUR 26 Sep. – Perhimpunan Agung UMNO yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang dijadualkan Disember ini ditangguhkan sehingga Mac tahun depan.
Dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) parti itu di sini hari ini, MT bagaimanapun menetapkan mesyuarat dan pemilihan bahagian-bahagian UMNO yang bermula pada 9 Oktober ini akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu sidang akhbar selepas mesyuarat itu bahawa pertandingan jawatan peringkat tertinggi UMNO pada Mac depan bergantung kepada keputusan mesyuarat bahagian-bahagian yang diadakan bulan depan.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan Mac depan, Abdullah berkata: “Terpulang kepada saya.”
Keputusan itu dibuat untuk melancarkan peralihan kuasa antara Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Utusan-
Petang semalam sejak mengetahui ada satu Mesyuarat Khas MT pagi ini hati sudah terdetik. Apa lagi berita mengejutkan yang akan diumumkan? Cakap-cakap di kedai kopi malam tadi rata-rata meneka akan ditangguhkan Mesyuarat Agung dan Pemilihan yang sepatutnya dilangsungkan Disember ini. Ada yang mengatakan Pak Lah akan umumkan untuk tidak bertanding jawatan Presiden pada pemilihan itu nanti. Kini segala-gala sudah terjawab. Pemilihan dan Mesyuarat Agung ditangguhkan. Ramai yang mengeluh hampa.
Ramai sudah yang berbicara bagaimana UMNO harus kembali kepada asas perjuangan untuk kekal relevan. Harus ambil tahu pandangan dan sentimen rakyat, akar umbi dan ahli ahli UMNO dan komponen BN itu sendiri. Lantas pabila Persidangan/Pemilihan Agung ini ditangguhkan, ianya dilihat sebagai usaha untuk melengah-lengahkan proses transisi itu sendiri. Memperlekehkan suara akar umbi sekali lagi. Akan adakah rombakan kabinet selepas ini? Atau mereka-mereka yang dilihat mengancam Presiden akan ditendang keluar dari Kabinet?
Aku tidak mahu terperangkap dalam kemelut nasional ini. Jika itu yang dirasakan terbaik oleh Pak Lah, biarlah. Tentu beliau ada asas untuk melakukan semua itu. Cuma secara peribadi aku melihat ini satu tindakan yang sangat tidak popular. Berkempen terlalu lama itu akan hanya membuang masa. Mereka yang bertanding Naib presiden dan Majlis Tertinggi akan lebih punya ruang untuk bertemu dengan perwakilan. Bukankah ini secara tidak langsung akan lebih membawa kepada berpuak-puak dan memungkinkan timbulnya isu rasuah politik?
Tidak cukupkan lagi jelekan orang pada kita? Rakyat sudah cemus dengan segala permasalahan dalaman kita. Ini masanya untuk kita bekerja. Memulihkan kembali keyakinan semua orang pada parti kita. Jika segala kekuatan yang ada (what's left of it), wang ringgit dan masa digunakan untuk bertempur sesama kita, bila pula masanya kita memberi servis kepada mereka? Walaupun merosot mereka masih yakin pada kita untuk mentadbir. Maka kembalilah jadi pentadbir, kurangkan berpolitik. Back to basic!
No comments:
Post a Comment