Wednesday, June 9, 2010

Hannah Raeesa..




Hannah banyak mengajar aku erti kehidupan. Jika dulu aku senang naik darah, tapi kini sudah lebih bersabar. Jika dulu selalu pulang kerja jauh lewat malam (adakala hingga dinihari) tapi kini lebih selektif dengan siapa mahu bertemu. Hidup lebih terisi dengan kehadiran beliau. Isteri juga tidaklah kebosanan kini sudah ada Hannah.

Syukur alhamdulillah.. segalanya dipermudahkan Allah.. kelahiran Hannah tidak sukar.(juga dengan bantuan pentidin, laughing gas dan epidural). Tepat pukul 11.55 malam 5 hb 5 2010, si kecik keluar dengan bergaya..terus buka mata dan menangis, disambung pula dengan tangisan ibu dan ibu mertuaku yang menyorok ketakutan dibelakang langsir.

Sebaik saja selesai jururawat membersihkan apa yang patut, dibawa masuk kebilik kami dan diserahkan pada aku. Walau sudah praktis dan selalu bergurau mengenai ini, akhirnya tewas juga. Saat-saat membisikkan qamat di telinga kecil beliau aku tewas dalam tangisan sendiri. Saat paling indah apabila kau memeluk si kecil yang selama 9 bulan ini sering kau bercakap disebalik perut emaknya.

Kemudian Hannah dimasukkan ke dalam bilik khas dan diletak dibawah warmer.. aku diperintah oleh ayah dan ibu untuk melakukan upacara 'belah mulut'. Dengan membawa cincin emas mama, dicelupkan ke dalam bekas berisi air zam zam aku titiskan ke mulut Hannah. Dia sgt suka, lapar barangkali si kecik itu.. selesai itu aku kembali keluar untuk mengirimkan khabar gembira kepada sanak saudara dan teman rapat.

Kini Hannah sudah sebulan 4 hari. walaupun tidak cukup tidur kami sangat bahagia.. ditambah pula si kecik sudah pandai melontarkan senyuman.. baik di waktu sedar mahupun tidur. walaupun sudah diberitahu yang itu adalah 'involuntary smile' kami tidak kisah.. anak kami sudah tahu senyum..