Tuesday, June 3, 2008

Kahwin




Sabtu lalu, aku ke KLIA untuk terbang ke Kota Bahru. Hati berbisik, yakin akan menjadi bahan lelucon sanak saudara-sudah terlalu lama aku pegang jawatan Presiden Kelab Cucu Bujang. Malahan sudah ada ahli-ahli bawahan yang protes,terlalu lama menunggu hingga mereka keluar kelab @ kahwin dulu walaupun lebih muda dariku. Shukri anak Pak Yob yang pertama keluar kelab..bakal diikuti oleh Ira anak Achik yang akan berkahwin hujung tahun ini.

Aku semakin sayang dengan Cinta. Dia baik, sanggup menghantar aku ke airport, sekadar mencuri 20,30 minit masa bersamaku sedangkan perjalanan balik dia lebih lama dan jauh. Terima kasih Cinta.

Sampai di KB pukul 4 petang. Kasihan ayah ibu dan adik adik yang lain. Bertolak seawal jam 10 pagi..sampai di KB sudah pukul 6. Aku keluar rumah pukul 1, naik flight pukul 3, pukul 4 sudah di KB. Kerana mereka tidak sampai, dan aku tidak tahu mana mahu dituju, merayau rayau di airport bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Habis segenap pelusuk aku rayau..menghisap rokok bagaikan pesalah yang mahu dihukum gantung.. hisap banyak banyak moga moga tidak perlu digantung.

Malam kami berkonvoi- 10 kereta menyerang masjid di Pasir Mas. Malam itu saja ada 4 pasangan yang mahu dinikahkan. Mujur kami yang pertama,kerana jumlah kami kami saja hampir memenuhi seluruh ruangan masjid itu. Shukri tenang, dan dengan sekali nafas saja dia sudah sah memperisterikan Fiza. Akan lancarkah lidahku nanti? hahaha... moga-moga tidak tersasul menyebut namamu nanti Cinta.

Keesokannya hari Ahad, sudah hari bekerja di kelantan, barangkali mahu menghormati kami yang rata-rata dari KL dan perak, keluarga Fiza membuat jamuan kenduri pada hari Ahad. Sedap lauk pauk, cuma agak manis untuk tekak kami yang sudah biasa pedas.

Pulang dari kenduri aku penat. Sangkaku dapat balik berehat di hotel, rupanya opah, makcik makcik dan kakak adik sepupu sudah ada perancangan awal-yang membabitkan aku. SHOPPING! Aku yang sudah selalu outstation di Kelantan ditugaskan membawa mereka ke tempat-tempat makan dan shopping yang menarik di sana. Kalau namanya sudah perempuan, barang-barang yang banyak di Kl juga boleh habis berjam jam mengulit dan menghalusi setiap pembelian. Dan aku memang selalu tidak sabar, merayau melilau seorangan di Wakaf Che Yeh, Pasar Khatijah..

Pulang dari KL semalam..Isnin. Apa yang aku dapat dari 3 hari disana? Aku sudah rela. Sudah redha mahu menyerahkan jawatan Presiden ini kepada adik adik yang lebih muda. Sudah mahu meninggalkan alam bujang yang penuh keseronokan ini. Aku mahu kahwin... Cinta,kau mau kahwin dengan akukah?