Wednesday, February 3, 2010

Pemuda UMNO dan halatujunya?

Krisis dalam Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menuntut satu penyelesaian segera untuk mematikan bibit-bibit perpecahan selama ini. Dalam setiap pertandingan pasti akan ada yang tewas dan menang. Yang menang tidak bermakna kuat, tambahan pula dalam pertandingan seperti tempoh hari yang melibatkan 3 penjuru. Yang kalah juga punya pengikut di kalangan kepimpinan dan juga akar umbi. Bukankah baik sekiranya segala kekuatan ini dapat diterjemahkan kepada sokongan kepada institusi? Daripada terus bernanah dan merosakkan parti?

Kemenangan YB Khairy Jamaluddin harus diiktiraf. Selama mana kau mahu mempertikaikan hak beliau untuk terus memimpin kita sekurang-kurangnya sehingga akhir penggal ini? Walaupun mungkin ada sedikit perkara ataupun perbuatan beliau mahupun orang kanan yang pernah menyinggung perasaan kalian, maafkanlah. Bukankah memberi kemaafan itu sesuatu yang mulia. Lagi pula sudah terlalu besar perubahan yang beliau bawa, samada dari cara pergaulan, interaksi dan hubungan hingga ke akar umbi. Ianya harus dilihat secara positif. Jika terusan menjadi sinikal kita takkan bisa merapatkan barisan untuk memperkasakan jentera Pemuda kita.

Ya, mungkin ada sesetengah perkara boleh diperbaiki. Tapi parti kita punya sistem. Gunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan. Jangan sesama kita duduk berhimpun kemudian saling menyalahkan antara satu sama lain. Pelik bila mana ahli pembangkang sebaik mungkin menjaga tepi kain mereka, menutup segala kelemahan dan kesalahan tapi kita seakan akan suka pula bila ketua kita dihina, diperlekeh sebegini rupa. Saya tidak meminta kita menjadi munafik, menegakkan yang salah.. tapi sekadar menjaga peradaban dan tata susila kita sebagai ahli Pemuda UMNO yang suatu hari nanti mewarisi kepimpinan negara.

Orang Melayu ini hatinya lembut, mudah dipujuk jika kena gayanya. Mungkin pihak pengurusan Pemuda perlu memikirkan pendekatan lebih kerap turun padang membelai jiwa rakan-rakan dibawah. Tapi harus difikirkan cara yang sederhana kerana orang Melayu ini juga jika terlalu dibelai akan menjadi manja dan mengada. Seimbangkanlah.

No comments: