Friday, November 28, 2008

Takziah buat keluarga Allayarham Dato Razali Ismail

Setiap yang hidup pasti akan mati. Dan terkadang kematian itu menjemput tanpa mengira usia, pangkat dan kedudukan. Aku terima berita sedih jam 8 malam tadi. YB Dato' Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran/ Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia jam 6.30 petang tadi sewaktu bermain badminton. Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas rohnya.. Al-Fatihah...

Friday, November 21, 2008

Senang Sedih..

Semalam sakit-sakit badan. Rupanya bila makin meningkat umur tu makin senang sengal-sengal selepas main badminton macam orang gila. Balik kerja awal dari biasa, pukul 6.30 sudah sampai rumah. Cantik juga pemandangan matahari terbenam dari tepi swimming pool Armanee..

Sebab badan tak sedap dan sebab aku nak tengok Amazing Race Asia Final aku tak keluar semalam. Makan pun kirim pada Suji (hse mate yang dalam sebulan ada 2,3 hari je balik rumah). Lepas tengok Amazing Race aku geledah rak dvd. Yang beratus-ratus dvd aku simpan sejak tahun 2002. (itupun sebab beratus ratus lagi dipinjam dan diambik terus).

Entah angin apa yang masuk dalam badan, malam tadi aku tengok 'I Am Sam'. Cerita lama yang dah lama aku tak tengok. Aku tertanya samada menonton sekali lagi akan bawa effect yang sama seperti pertama kali tengok dulu. (aku menangis first time tengok cerita tu)

Ramai lelaki kata tak macho kalau menangis. Apatah lagi kalau menangis tengok cerita-cerita sedih. Tahla, tapi bagi aku kalau kamu punya perasaan kamu pastikan menangis bila tengok cerita I am Sam. Bagaimana seorang ayah yang sayangkan anaknya, walaupun dengan kekurangan mentalnya sanggup untuk fight the system untuk dapatkan anaknya balik. Bagaimana anak tu rindu ayah dia sampai panjat keluar balkoni, jalan tengah malam untuk pergi tidur dengan ayah dia.

Selain cerita tu aku juga menangis tengok cerita Khabi Khushi Khabi Gam. Waktu (Dato) Shah Rukh Khan baru tahu yg Hrithik Roshan tu adalah adik dia..duduk atas bangku kat taman tepi tasik.

" Kau dapat masuk team kriket tak?" tanya Shah Rukh Khan.. Hrithik angguk..
"kau jaga mak tak?'.. Hrithik angguk lagi..
"kenapa kau tak beritahu abang yg kau.." sambil tarik dan peluk adik dia.. adush.. sedih gila kot part tu.

Bukan setakat cerita filem. Drama-drama pun kekadang sedih jugak. Tapi susah nak cari drama yang boleh buat aku menangis. Mungkin jugak sebab aku tengok drama Melayu tu selalu ramai-ramai dengan sedara mara di malam-malam raya. Mungkin tak feel sangat bila tengok beramai-ramai..sebab tu aku tak nangis tengok drama Pondok Buruk, Pondok Buruk 2, Quran buruk, Baju buruk, perangai buruk, semualah buruk di malam raya..

Tapi lepas habis tengok cerita tu dan kesat airmata aku terfikir. Aku memang senang simpati. itu juga sebabnya kenapa ramai yang ambik kesempatan kot.

Haih..aku nak pergi kursus motivasi supaya jangan senang sedih..

Monday, November 17, 2008

Naluri Seorang Bapak

Tengah hari tadi makan ke The Mall dengan Al-Kamarol dan Fakri. Aku suka bila hari mendung dan gerimis turun waktu tengah hari sebab tak panas untuk berjalan ke The Mall. Bukak jacket aku sebab taknak nampak over makan di tingkat 4. Hasilnya..seorang lelaki comel berbadan gempal berjalan memakai seluar yang ketat-metat.

Hari yang mendung tak mahu dipanaskan dengan cakap-cakap politik. Buat pertama kalinya aku makan dengan kawan-kawan Pemuda UMNO tanpa satu cerita politik pun. Aku diberi crash course- persediaan menjadi ayah. Padahal aku baru merancang nak kahwin..mmm..dengar je..

Hari ini aku belajar banyak benda baru;

1. Kalau isteri mengandung, tengok pada perut. Kalau lebar tandanya anak perempuan

2. Ada teknik-teknik (petua) sewaktu bersama dengan isteri untuk perancangan samada mahu anak lelaki atau perempuan. (teknik tak boleh diceritakan kerana agak lucah-tidak sesuai dengan blog aku yang dikategorikan U-untuk tonotonan umum)

3. Pasangan suami isteri digalakkan bersama untuk memudahkan proses kelahiran anak. Kata Kamarul sebab air mani lelaki boleh memecahkan air ketuban isteri. (aku rasa senang lahir sebab baby tu rimas + kecik hati sebab bapak dia tak sabo sabo nak usik mak dia waktu dia tengah tidur dalam perut)

3. Baby waktu lahir senang kembung. Kena pakai minyak Alfiat, Minyak Yu Yi, Minyak Bebyku..

4. Susu kena beli yang tin kecik dulu. Baby sangat cerewet. Selain dari susu ibu memang kena pilih yang paling serasi. Selalunya anak pertama kita kan pilih yang paling mahal (Anmum, Enfagrow S40/46,)- tak tentu baby suka. Kadang dia suka yang paling murah ( Dutch Lady).. anak aku banyak bunyi nanti aku bagi susu sejat F&N..hahaha

5.Bila dah ada anak-anak yang membesar (4-5 tahun), kena pandai pilih masa untuk bersama mamanya. Kadang-kadang bila sedang bergurau senda dengan isteri dan tiba-tiba anak-anak sibuk ketuk pintu bilik dengan pedang Thundercat pun potong jugak..hahahaha..

Mendengar cerita-cerita diorang aku jadi sangat teruja untuk menjadi ayah..mmm..lambatnya nak tunggu bulan Julai untuk menikah ni...mmm

P/S: Shireen mahu anak-anak panggil aku daddy, aku mahu jadi Walid..barula Arab..hahaha

Thursday, November 6, 2008

Melayu dan Gossip..





Bila kita nak berubah? Tajuk-tajuk utama berita sehari dua ni agak merisau dan merungsingkan aku. Tentang artis yang kena tangkap khalwat. Muka depan cerita tentang artis yang bergaduh laki bini di set penggambaran (ye, bukan typo, memang keluar muka depan). Kalau betul pun dia berkhalwat, haruskah digembar gemburkan berita itu?



Aku percaya bila artis lelaki tu mengatakan " Saya tak tahu dia di bawah. Saya diatas sedang bekerja". Aku yakin Norman jujur. Memang dia tak tahu yang Memey masih dibawah. Kawan-kawan ofis kurang percaya.


"Memanglah Norman kat atas, Memey kat bawah..hahahahaha".. ulas mereka. Aku tak kahwin lagi.. lambat tangkap. Tapi bila akhirnya dapat tangkap.. mmm..masuk akal jugak..hahahaha...



Tapi tolonglah. Akhbar punya tanggungjawab yang besar untuk melaporkan keadaan semasa. Berita-berita penting yang bukanlah bersifat gossip peribadi. Kalaupun ada jumlah peminat yang besar sekalipun takkanlah sampai letak di muka hadapan?



P/S: Editor tolong cerdik sikit, boleh?

Tuesday, November 4, 2008

Sayang tapi kena ajar..

Anak sulung tradisinya kena banyak beralah dengan adik-adik. Anak sulung juga harus jadi role model untuk adik-adik untuk berjaya. Selalunya anak sulung ada keistimewaan yang diberi oleh ibu bapa sebab anak pertama itu selalunya penambah seri dalam rumahtangga pasangan yang berkahwin. Aku anak sulung...


Tetapi kekadang privilege yang diperolehi anak sulung itu dipersoalkan adik-adiknya. Macam waktu aku dapat scooter waktu di universiti dulu, adik aku jealous. Waktu ibu bagi kereta dia pada aku waktu mula bekerja dulu, juga adik-adik aku jeling. Bila ayah menegur, ibu terkadang membela, adik-adik panas. Seronok jadi anak sulung.



Tetapi MELAYU sebagai anak sulung ibu pertiwi tidak seronok. MELAYU sebagai anak sulung sudah selalu dipersoalkan keistimewaan yang diberi semenjak zaman kemerdekaan dulu. Adik-adik sudah semakin berani, mengeluarkan statement-statement yang melukakan hati abang. Adik-adik Cina minta hapuskan hak istimewa abang, minta jawatan-jawatan abang,adik India tuduh abang sebagai sebab adik-adik India dipinggirkan di negara ini.


Ini masalah bila abang terlalu banyak beralah, terlalu banyak berkompromi..terlalu mahu jadi abang yang sayangkan adik-adik.
Hari ini UMNO di persimpangan. Kekal beralah dan hilang undi dan kepercayaan orang-orang Melayu. Atau tegas dan tanggung risiko hilang undi adik-adik.



Aku percaya ini semua berpucuk pangkal pada kepimpinan juga. Dulu waktu abang Det, dia tegas tapi penyayang. Adik-adik hormat, tak berani minta bukan-bukan. Tidak dengar bunyi adik-adik mengomel di belakang mempersoalkan keistimewaan Melayu. Bila lihat Abe Loh lembut, semua cuba pijak kepala. Semua sudah hilang hormat. Dan Abe Loh sebagai abang, kena sedarkan adik-adik ni semua, sebelum dia terus hanyut. Jika perlu tegur, tegur. Kalau perlu beri amaran, berilah. Kalau tak mahu dengar, piat telinga. Kena buat atas dasar sayangkan adik-adik.



P/S: Aku sayang adik-adik aku, tapi ada sekali tu sebab dia mengada-ngada sangat aku flying kick juga. Sekarang dia dengar cakap.

Monday, November 3, 2008

Penghuni Tingkat 4...

Banyak dengar cerita-cerita orang tentang tingkat 4. Aku kurang mahu ambil tahu kisah orang yang takde kena mengena dengan hidup aku. Tapi bila sudah melibatkan masa depan anak cucu aku, tidak boleh kompromi.

Jiran-jiran sebelah rumah juga bila sesekali bertemu depan lif untuk turun pergi kerja akan bercerita dan bertanyakan hal yang sama. Barangkali mereka perasan uniform Pemuda UMNO yang aku pakai maka mereka bertanyakan hal itu pada aku.

"Kamu tak boleh ambil tindakan pada mereka kah?"

"Jangan sampai masa depan anak-anak kita rosak sebab budak-budak Tingkat 4 ni" -Izran jiran tingkat 5 cakap dengan aku waktu jumpa di kafe Armanee semalam.

Aku angguk lemah. Kalau sudah takde sape yang nak tegur budak-budak tingkat 4 ni biarlah aku yang pergi.

Balik dari kenduri kahwin di Putrajaya malam tadi aku nekad. Aku mahu jumpa diorang semua. Meski pun mengaibkan dan aku tak tahu apa reaksi mereka jika aku menegur mereka. Maklumlah, mereka orang-orang 'besar' dan bergaji besar(aku rasalah).

Aku ketuk dan bagi salam pada mereka. Aku sampaikan yang ini bukan harapan aku seorang, harapan akak jiran aku, abang-abang yang anaknya baru masuk sekolah dekat rumah aku.

Rupanya di Tingkat 4 itu bukan seorang saja yang berkuasa di situ. Ada 10 orang besar yang mempengaruhi untuk mereka sama-sama buat keputusan itu.

Sebab mereka orang besar, aku kena cakap English;

"I'm sorry and a little embarassed to ask you this. Is it possible if you turn down the volume when you are watching that porn movie?"

Petang itu aku berkenalan dengan 10 orang besar dan warna hitam, jiran aku di Tingkat 4. Petang itu juga 10 orang budak Nigeria sengih-sengih dan mintak maaf..

1 lagi kejayaan Pemuda Barisan Nasional untuk masa depan anak cucu kita..

Debat atau tidak?

Satu tanggapan orang yang aku tak suka tapi susah/malas untuk betulkan ialah aku kaya. Sebab aku dalam politik, kenal dengan menteri itu,menteri ini. Kononnya aku sengaja tak mahu tukar kereta kerana mahu ‘cover line’, tidak mahu orang tahu yang aku banyak projek.

Perlukah aku mengangkat sumpah lahanat bahwa aku;
a) Tidak kaya
b) Tidak pernah dapat apa-apa projek
c) Tidak berniaga sama sekali
d) Kenal menteri-menteri tapi diorang bukan kenal aku pun

Aku memang minat politik sangat-sangat. Mungkin pelik bilamana dari darjah 4 bilamana kawan-kawan sekolah sibuk baca komik Doraemon, Pedang Setiawan, aku curi-curi baca Harakah ustaz ajar mengaji aku. Aku ambik buku-buku politik yang ayah beli. Dari situ aku sudah tanamkan semangat yang satu hari nanti aku mahu jadi ahli politik. Dari darjah 4.

Itu aku kira lebih baik, lebih rasional. Sebab cita-cita aku dari darjah 1 sampai darjah 3 mahu jadi penjaga gol England..

Jadi segala aktiviti yang melibatkan kepimpinan aku minat. Dari jadi wakil sekolah ke pertandingan bercerita kisah-kisah Al-Quran sampailah jadi wakil daerah untuk Pertandingan Bahas. Aku dulu takde darah gemuruh bercakap depan orang ramai. Aku kira, mahu jadi pemimpin harus pandai bercakap.

Tapi hari ini untuk jadi pemimpin bukan bercakap itu saja yang penting.

Kemampuan berdebat dan mempesonakan orang dengan hujah-hujah kau saja tidak cukup.

Tapi,tidak nafikan pentingnya skill itu untuk jadi pemimpin. Yang aku soalkan itu bukan nombor satu. Banyak lagi yang harus diberi prioriti. Niat, kewibawaan memimpin, jatidiri sebagai Politikus Melayu.

Dari sini kamu tahu dan boleh mengagak..aku kurang setuju diadakan perdebatan untuk memilih calon Ketua Pemuda. Kalau mahu menerangkan idealogi dan pendapat pun banyak forum atau method lain yang boleh diambil pakai untuk menyampaikannya. Kerna aku kira perdebatan terbuka itu akan hanya mendedahkan pekung di dada sendiri. Tidak dapat lari pasti akan ada yang emosi dan serangan-serangan itu akan hanya mengurangkan lagi minat orang kepada kita.

Proses pemilihan dalam UMNO ini adalah satu usaha untuk meyakinkan rakyat dan ahli UMNO bahawa kita mahu berubah. UMNO sedang membuat reformasi dalaman untuk membersihkan parti. Usaha ini telah dimulakan dari peringkat bawah, di cawangan dan bahagian-bahagian yang akan selesai mesyuaratnya minggu depan. Aku rasa perdebatan terbuka ini akan hanya mengeruhkan lagi pandangan orang pada kita.

P/S : Kurang bercakap tapi lebihkan gerak kerja kan lebih baik?