Monday, September 19, 2011

Hari Malaysia 2011


PERUTUSAN KHAS HARI MALAYSIA
OLEH
YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2011

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.
  1. Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut  ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.
  2. Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan  pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.  
  3. Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian. 
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
  1. Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?
  2. Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.
  3. Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya.  Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.  

  1. Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
  1. Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta  kedaulatan undang-undang.
  2. Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.
10.     Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses pilihanraya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala.
11.     Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.
12.     Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
13.     Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.
14.     Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.
15.     Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan  rakyat Malaysia  telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.
16.     Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.  
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
17.     Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
18.     Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi  keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.
19.     Dari perspektif undang-undang  Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.
20.     Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca  tragedi 11 September.
21.     Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.
22.     Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.
 Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
23.     Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.
24.     Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
25.     Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.
26.     Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi.
27.     Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.
28.     Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
29.     Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.

30.     Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam  mencorakkan hala tuju masa depan mereka  sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara degan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?

31.     Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.

32.     Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

33.     Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.

Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Thursday, June 2, 2011

Hannah n daddy...





















last weekend was a hectic weekend for me. I had promised my 1 year old daughter to take her out, spend some quality time with her. I know, she's only 1 year..she doesnt speak yet..but a promise remain the same. So i had to make some adjustment and brought her with me to my dinner appointment. Believe it or not, that was the first time that she was left alone with me...no mummy, no bibik to back me up..

Since shireen gave birth, Hannah's been stuck in the house for the past 3 weeks. since we wont be needing her car seat in the car i placed her carseat in the house. I noticed she kept on sitting on her carseat n thats when it struck me that she missed her 'quality time' in the car. As she is the boss in the car, she gets to watch her barney, her chugginton vcd and some other cartoon in the car. if we drive back to ipoh for 2 hours, thats how long she wants her barney.

so the journey from our house to curve was somehow pleasant. she sat comfortably in her seat, singing along to her favourite cartoon, clapping and dancing excitingly. once we made it to curve she sat in her stroller for a good 45 minutes (trust me she never sat that long) until she saw some balloons at the shop. so i quickly strolled her to Marche where i met some friends there.

In the presence of strangers im quite impressed at how she behaves..at dinner she sat quietly, staring at people and trying to register each and everyone there.( i secretly think that mummy has taught her to give full report on daddy's activities.)

so we sat nicely and i managed to make conversations with friends until she saw some balloons there.. oh how it turned into chaos when she wants to play, running around holding her balloons.
And when she got tired, she became cranky and thats the cue i've been waiting for. i gave her formula and she rested in her stroller until we made it to the car. And hannah cant never sleep without her bolster (bob) and pacifier (puting).

Cut the long story short, without those two things, all hell broke loose.. she cried and not even barney can calm her down when she's tired and cranky. boy was i glad it was only a 10 minutes drive..

It was a meaningful weekend for me.. and for hannah too i think. we needed that father-daughter quality time away from mummy and annoying bibik.. hahaha.. I Heart You Hannah Raeesa...

Jadi Bapak dan Cabarannya waktu malam..

EMMIR SELEPAS 3 MINGGU
EMMIR LAHIR 11/5/11

Tajuk seakan akan satu kertas kerja yang dibentangkan dalam diskusi ilmiah di universiti. Hakikatnya ini hanyalah cetusan rasa daripada seorang bapak yang tak cukup tidur bilamana anak kedua yang baru 3 minggu meragam malam.

Semalam Emmir rengek-rengek, nangis-nangis. Sepanjang 3 minggu semenjak kelahirannya inilah pertama kali 'milk monster' bertukar menjadi 'monster' sahaja. Jika sebelum ini dia hanya mahukan susu, samada bergayut dengan mummy ataupun bila habis disambung dengan formula, malam tadi sangat mencabar bila dia menangis sekuat-kuat hati. Diangkat dia menangis, diletak apatah lagi..semuanya jadi serba buntu. Selaku penolong ketua darjah aku cuba membantu ketua darjah (bini) memujuk Emmir. Masalah jika anak rapat adalah sindrom jangkit. Jika Hannah menangis, Emmir akan turut berkoir, begitu juga bila Emmir menangis..Hannah akan turut bangun dan menyertai sewaktu korus. Jika tidak tahan dugaan memang aku dan Shireen juga akan terjebak boleh menangis.

Kembung malam untuk bayi adalah satu masalah normal dan kerap terjadi. Tak ada penjelasan perubatan mengapa ianya terjadi. Yang ada hanyalah teori org-org tua. Angin, sejuk, pemakanan ibu sewaktu menyusu dan sebagainya gagal menjelaskan secara tepat kenapa ianya berlaku. Tapi bagi bapa dan ibu muda tidak dapat lari dari masalah ini. Selepas puas digosok minyak yu yee dan dituam perutnya akhirnya dia belahak (burp) dan dapat tidur lena.. Sebenarnya itu ringkasan cerita..yang diceritakan pagi tadi oleh Shireen kepada aku kerana sebelum anak lena, bapaknya lena dulu... :p

Aku rasa sedikit bersalah pada Emmir.. harap nanti dia tak baca blog ini kerana sebagai bapak aku kena jaga air muka... mana boleh beritahu anak bapak bersalah.. :p Kerana sebelum lahir sering membincangkan betapa kesiannya kami pada Hannah yang sudah mahu dapat adik sedangkan dia sendiri cuma setahun. Betapa nanti dia akan terabai atau diabaikan secara tidak sengaja oleh mummy dan bapaknya. Kerana kerisauan melampau itu aku secara tidak langsung telah tersangat memanjakan Hannah dan sangat kurang membelai Emmir dan mummynya.. Maafkan bapak ye Emmir.. Akan cuba berlaku lebih adil selepas ini.

Jika dulu kelahiran Hannah dipenuhi dengan 'tweet' secara live daripada hospital.. di penuhi dengan gambar gambar yang dinaikturunkan ke laman FB, Emmir sangat bersederhana. Tiada 'tweet', tiada gambar sebanyak kakaknya.. kata kawan-kawan memang anak pertama lebih jiwa, lebih segala-galanya kerana dia yang pertama.. entahlah.. mungkin ada kebenarannya. Tapi diharapkan aku akan lebih berlaku adil dengan anak anak aku...

P/S: Best siut ada anak sepasang... walaupun headache bini dah sibuk pilih warna tema baju raya.. :p Alhamdulillah...


Monday, March 28, 2011

Well hello again..


Just want to drop by and say hello.. Oh and to let u guys know that i'm pretty much still alive. :-) will try to update this blog soon.. Have a great n productive week y'all.

- Posted using BlogPress from my iPad

Tuesday, November 9, 2010

Hello.. saya muncul lagi...

Aku mahu teruskan menulis seakan-akan kita sedang dalam perbualan rancak. Seolah-olah kita adalah rakan akrab yang sedang dalam perbincangannya. Kerana terlalu apologetik kerna sudah lama tidak mengemaskini juga tidak akan membawa apa-apa perubahan. Kamu dan aku tahu bahawa penyakit bermusim ini sudah menular terlalu dalam ke dalam sistem badan aku yang ubatnya mungkin sukar dicari.

Selepas kemenangan berganda BN di Batu Sapi dan Galas ramai yang membuat andaian bahawa BN sudah kembali kuat. Aku amat mahu berpegang dengan keyakinan mereka. Bisikan hati juga mengatakan mungkin sudah ada sedikit pembaruan oleh BN yang memungkinkan sokongan rakyat kembali tetapi masih belum memadai. Kerja keras juga yang akhirnya akan menentukan nasib kita pada PRU ke 13 nanti.

Sudah semakin ramai juga pemimpin besar/ahli-ahli yang berhormat samada ahli parlimen mahupun Adun/ penyokong tegar / separa tegar/penyokong biasa biasa/ penyokong bermusim/ pengikut ikut ikutan Pakatan haram Rakyat terutamanya dari PKR yang mengumumkan keluar parti lantaran hilang kepercayaan kepada ulul amri mereka DS Anwar Ibrahim. Harus ada satu kajian yang menyeluruh dilakukan untuk menganalisis kenapa mereka ini terutamanya yang rapat dengan beliau hilang kepercayaan kepada Anwar dan partinya?

Terbaru krisis dalaman yang melibatkan calon-calon Timbalan Presiden PKR. Dato' Zaid mengumumkan menarik diri dari pertandingan tersebut dan melepaskan semua jawatan di dalam parti. Seorang lagi calon juga mempertimbangkan hasrat sama. Ini dilihat satu tamparan kepada Anwar..kepentingan umum atau mahu jaga anak buah? Ketua umum pun tak pentingkan umum, bagaimana?

Tinggalkan sebentar krisis PKR yang sedang tunggu masa untuk rebah. Cakap-cakap orang politik mengatakan akan ada satu rombakan kecil kabinet dalam masa terdekat ini. Makin giatlah mereka-mereka yang berhasrat melobi. Menarik.. kita sama-sama tunggu...

Sunday, September 5, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Salam Ramadhan.. Salam 1 malaysia..
Hari ni dah masuk 26 Ramadhan..maknanya tak sampai seminggu lagi umat Islam akan menyambut kedatangan Syawal. Sekejap sungguh rasanya bulan Ramadhan mengunjungi kita.. kepada semua rakan-rakan dan anda yang membaca blog saya ingin saya menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang perkenalan ini ada tutur kata dan perbuatan saya yang menyinggung hati dan perasaan kalian.. Selamat Hari Raya Aidilfitri..maaf zahir dan batin..

Wednesday, June 9, 2010

Hannah Raeesa..




Hannah banyak mengajar aku erti kehidupan. Jika dulu aku senang naik darah, tapi kini sudah lebih bersabar. Jika dulu selalu pulang kerja jauh lewat malam (adakala hingga dinihari) tapi kini lebih selektif dengan siapa mahu bertemu. Hidup lebih terisi dengan kehadiran beliau. Isteri juga tidaklah kebosanan kini sudah ada Hannah.

Syukur alhamdulillah.. segalanya dipermudahkan Allah.. kelahiran Hannah tidak sukar.(juga dengan bantuan pentidin, laughing gas dan epidural). Tepat pukul 11.55 malam 5 hb 5 2010, si kecik keluar dengan bergaya..terus buka mata dan menangis, disambung pula dengan tangisan ibu dan ibu mertuaku yang menyorok ketakutan dibelakang langsir.

Sebaik saja selesai jururawat membersihkan apa yang patut, dibawa masuk kebilik kami dan diserahkan pada aku. Walau sudah praktis dan selalu bergurau mengenai ini, akhirnya tewas juga. Saat-saat membisikkan qamat di telinga kecil beliau aku tewas dalam tangisan sendiri. Saat paling indah apabila kau memeluk si kecil yang selama 9 bulan ini sering kau bercakap disebalik perut emaknya.

Kemudian Hannah dimasukkan ke dalam bilik khas dan diletak dibawah warmer.. aku diperintah oleh ayah dan ibu untuk melakukan upacara 'belah mulut'. Dengan membawa cincin emas mama, dicelupkan ke dalam bekas berisi air zam zam aku titiskan ke mulut Hannah. Dia sgt suka, lapar barangkali si kecik itu.. selesai itu aku kembali keluar untuk mengirimkan khabar gembira kepada sanak saudara dan teman rapat.

Kini Hannah sudah sebulan 4 hari. walaupun tidak cukup tidur kami sangat bahagia.. ditambah pula si kecik sudah pandai melontarkan senyuman.. baik di waktu sedar mahupun tidur. walaupun sudah diberitahu yang itu adalah 'involuntary smile' kami tidak kisah.. anak kami sudah tahu senyum..

Tuesday, February 9, 2010

Hah, apa lagi?

Rayuan Nizar ditolak sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan dan memutuskan Datuk Seri Dr. Zambry adalah Menteri Besar yang sah.Oleh itu kepada orang orang yang jahat di sebelah sana sila diam dan malu sendiri sendiri.

Dilarang mengadakan aktiviti mandi-manda bersama PDRM dan FRU. Sudah sudahlah menyusahkan rakyat selama ini. Mengguna dan mengorbankan masa depan generasi muda untuk terperangkap dalam permainan politik sempit kalian yang sekadar Maha Gila mahu menjadi Perdana Menteri. Rakyat makin percaya yang perjuangan kamu tidak telus, tidak benar.

Tahniah kepada rakyat Perak. Kepada BN dan UMNO Perak. Jgn kemenangan ini melalaikan kita, perjuangan masih jauh. Kita menang pertempuran kali ini, tapi yang paling penting adalah Perang PRU 13 nanti. Selamat berkhidmat semua..

1 Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan..

Thursday, February 4, 2010

Shahrul Zaman Datuk Yahya..



Entri ini khusus ditujukan kepada abang/mentor/cikgu dan sahabat saya Sdr Shahrul Zaman Datuk Yahya, mantan Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia yang kini Setiausaha Politik kepada YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Terlalu banyak yang saya pelajari dari beliau. Secara peribadi beliau adalah tunjang kepada kekuatan pejabat pentadbiran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dari tahun 2004-2008. Jikalaulah ada 10 orang lagi seperti beliau pastilah institusi Pemuda akan lebih berkesan kini.

Orangnya lemah lembut, penuh diplomasi dan terlalu komited pada amanat dan tanggungjawab beliau di sana. Saya selalu berdoa semoga dikurniakan kekuatan akal dan minda juga semangat untuk bertugas seperti dia. Jika saya dapat 50% apa kualiti yang ada pada beliau saya sudah bersyukur.

Kepada beliau, terima kasih atas segala khidmat nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan kepada saya selama ini.

Wednesday, February 3, 2010

Pemuda UMNO dan halatujunya?

Krisis dalam Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menuntut satu penyelesaian segera untuk mematikan bibit-bibit perpecahan selama ini. Dalam setiap pertandingan pasti akan ada yang tewas dan menang. Yang menang tidak bermakna kuat, tambahan pula dalam pertandingan seperti tempoh hari yang melibatkan 3 penjuru. Yang kalah juga punya pengikut di kalangan kepimpinan dan juga akar umbi. Bukankah baik sekiranya segala kekuatan ini dapat diterjemahkan kepada sokongan kepada institusi? Daripada terus bernanah dan merosakkan parti?

Kemenangan YB Khairy Jamaluddin harus diiktiraf. Selama mana kau mahu mempertikaikan hak beliau untuk terus memimpin kita sekurang-kurangnya sehingga akhir penggal ini? Walaupun mungkin ada sedikit perkara ataupun perbuatan beliau mahupun orang kanan yang pernah menyinggung perasaan kalian, maafkanlah. Bukankah memberi kemaafan itu sesuatu yang mulia. Lagi pula sudah terlalu besar perubahan yang beliau bawa, samada dari cara pergaulan, interaksi dan hubungan hingga ke akar umbi. Ianya harus dilihat secara positif. Jika terusan menjadi sinikal kita takkan bisa merapatkan barisan untuk memperkasakan jentera Pemuda kita.

Ya, mungkin ada sesetengah perkara boleh diperbaiki. Tapi parti kita punya sistem. Gunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan. Jangan sesama kita duduk berhimpun kemudian saling menyalahkan antara satu sama lain. Pelik bila mana ahli pembangkang sebaik mungkin menjaga tepi kain mereka, menutup segala kelemahan dan kesalahan tapi kita seakan akan suka pula bila ketua kita dihina, diperlekeh sebegini rupa. Saya tidak meminta kita menjadi munafik, menegakkan yang salah.. tapi sekadar menjaga peradaban dan tata susila kita sebagai ahli Pemuda UMNO yang suatu hari nanti mewarisi kepimpinan negara.

Orang Melayu ini hatinya lembut, mudah dipujuk jika kena gayanya. Mungkin pihak pengurusan Pemuda perlu memikirkan pendekatan lebih kerap turun padang membelai jiwa rakan-rakan dibawah. Tapi harus difikirkan cara yang sederhana kerana orang Melayu ini juga jika terlalu dibelai akan menjadi manja dan mengada. Seimbangkanlah.